KUALA LUMPUR 12/10/08: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar, menyelar sikap Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang disifatkannya terlalu lambat dan mengamalkan budaya kerja 20 tahun lalu kerana mengambil masa berbulan-bulan untuk meluluskan pinjaman. Katanya, budaya kerja perlahan bukan saja menjejaskan perniagaan pengusaha Bumiputera, tetapi turut memberi imej buruk kepada kerajaan apabila rakyat marah dan menganggap kerajaan gagal mengotakan apa yang dikata, sedangkan ia diuruskan agensi di bawah satu-satu kementerian. "Saya masih menerima aduan dan rungutan mengenai sistem pembiayaan, terutama pinjaman yang perlu diluluskan ibu pejabat Mara. "Di peringkat daerah tiada masalah kerana pegawai Mara diberi kuasa membuat keputusan serta merta sama ada melulus atau menolak pinjaman berjumlah kurang RM20,000. "Yang menjadi masalah ialah pengurusan di ibu pejabat Mara. Saya tidak faham mengapa mereka mengambil masa terlalu lama untuk membuat keputusan. "Kalau tidak cukup duit untuk beri pinjaman, maklumkan kepada kita. Kita akan kaji balik untuk mengurangkan jenis pinjaman. "Saya maklum Mara menawarkan banyak jenis pinjaman tetapi tidak berguna jika ia (pinjaman) tidak boleh diberi. "Jika janji satu bulan, mesti buat keputusan dalam tempoh itu sama ada untuk meluluskan atau sebaliknya. Kalau lulus, kena beritahu segera. "Saya sendiri mempunyai dua tiga kes permohonan yang mendapat sokongan saya serta kaki tangan kanan kementerian, tetapi selepas empat bulan masih tiada jawapan. "Jika permohonan yang disokong menteri pun tidak dapat diluluskan, apatah lagi permohonan orang lain," katanya pada sambutan Aidilfitri Furniture Industry Technology Centre Sdn Bhd (FITEC), di sini, semalam. Menurutnya, beliau akan melihat cara kerja jawatankuasa Mara yang bertanggungjawab meluluskan pinjaman, termasuk kekerapan mereka mengadakan mesyuarat dan individu yang diberi kuasa ke atas perkara berkenaan. Malah, kelewatan itu juga menjadi antara sebab ramai pengusaha Bumiputera mengambil keputusan membuat pinjaman dengan along yang disifatkan lebih mudah, sedangkan mereka layak memohon pinjaman kurang daripada RM20,000 tanpa memerlukan penjamin atau cagaran. Beliau juga menegaskan akan mengambil tindakan terhadap pegawai Mara yang gagal menjalankan tugas sehingga menyebabkan mana-mana bangunan Mara terbiar dan dalam keadaan 'hidup segan, mati tidak mahu'. "Perkara ini sudah banyak kali saya sentuh, malah dibawa ke Kabinet, tetapi masih tiada perubahan. Ini sangat mengecewakan kerana Mara adalah imej kementerian. "Jika Mara gagal, bermakna kementerian juga gagal, sedangkan kita berusaha bersungguh-sungguh membantu pengusaha," katanya. Meskipun dalam serba kepayahan, Malaysia mampu menjadi pengeksport perabot kesembilan terbesar di dunia dengan nilai melebihi RM7 bilion dan RM2 bilion bagi pasaran tempatan pada 2007. Kementerian mensasarkan untuk mencapai nilai eksport kepada RM10 bilion pada 2010. Untuk mencapai sasaran berkenaan, pengusaha perabot tempatan perlu berusaha bersungguh-sungguh, apatah lagi dengan kemasukan perabot dari China yang bukan saja cantik dn menyamai rekaan luar negara yang terkenal, tetapi jauh lebih murah. |