|
|
| Pinjaman Mikro Bagi Warga Kota | | AMANAH Ikhtiar Malaysia (AIM) melancarkan Program Kewangan Mikro Bandar dengan dana awal RM100 juta bagi membantu golongan miskin di kawasan bandar memulakan perniagaan secara kecil-kecilan.
Program yang dibuka kepada semua rakyat Malaysia di kawasan bandar yang berpendapatan di bawah RM2,000 sebulan dan mempunyai aset tidak melebihi RM50,000 itu, menawarkan pembiayaan awal RM3,000 bagi peminjam kali pertama.
Caj pembiayaan adalah satu peratus sebulan dengan bayaran balik dibuat secara mingguan. Peminjam tidak perlu menyediakan cagaran dan penjamin, tetapi mestilah memenuhi syarat yang ditetapkan, iaitu telah mendiami kediamannya sekarang melebihi dua tahun, bersetuju membentuk kumpulan lima ahli di kalangan peminjam dan menubuhkan pusat kumpulan peminjam serta menjalani latihan selama lima hari selama sejam sehari.
Syarat lain ialah peminjam mesti menghadiri mesyuarat pusat setiap minggu dan menyumbang satu peratus daripada jumlah pembiayaan kepada tabung kumpulan peminjam yang mereka tubuhkan.
Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dalam ucapannya ketika merasmikan program itu semalam, berkata dana RM100 juta yang diperuntukkan bagi program itu adalah sebagai tambahan kepada modal pusingan sedia ada berjumlah RM460 juta yang disalurkan kepada AIM. “Dijangkakan semua RM100 juta itu akan disalurkan kepada peminjam yang layak menjelang akhir tahun depan,” katanya.
Turut hadir pada majlis pelancaran yang diadakan di Perumahan Rakyat Sri Semarak, Setapak, Kuala Lumpur itu ialah Pengerusi AIM, Datuk Amihamzah Ahmad dan Pengarah Urusan AIM, Zabidah Ismail.
Nor Mohamed berkata, program pinjaman mikro itu dilancarkan kerana kerajaan memahami kesukaran golongan berpendapatan rendah mendapatkan pembiayaan bagi menjalankan perniagaan sendiri secara kecil-kecilan.
Beliau menegaskan, kerajaan tidak mempunyai masalah dalam penyediaan skim pinjaman itu kerana mempunyai peruntukan yang mencukupi bagi tujuan berkenaan. “Ciri-ciri skim itu sendiri yang mempunyai kadar pembayaran balik yang tinggi juga membolehkan AIM mempunyai modal pusingan mencukupi untuk dipinjamkan kepada peminjam baru atau menambahkan pinjaman kepada peminjam sedia ada,” katanya.
Sementara itu, Amihamzah berkata, AIM merancang membuka tujuh cawangan bagi penyaluran pinjaman kredit mikro di Lembah Klang tahun ini.
Bagi tahun depan pula, beliau berkata, AIM akan membuka tujuh lagi cawangan meliputi bandar raya Johor Bahru, Ipoh dan Pulau Pinang.
“Kami berharap Program Kewangan Kredit Mikro AIM yang kini diperluaskan di kawasan bandar akan mencatatkan kejayaan sama seperti di luar bandar sejak dimulakan 21 tahun lalu,” katanya.
Amihamzah berkata, AIM kini telah mencapai matlamat mengurangkan kemiskinan di luar bandar menerusi pendekatan Skim Kewangan Mikro Ikhtiar yang dimulakan 21 tahun lalu.
Beliau berkata, sehingga April 2008, AIM menjangkau kira-kira 190,000 isi rumah miskin seluruh negara meliputi 3745 kampung.
“Jumlah pembiayaan terkumpul pula adalah sebanyak RM2.5 bilion dengan kadar pembayaran balik melebihi 98 peratus dengan 13 daripada 69 cawangan mencapai kadar bayaran balik 100 peratus,” katanya. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
 |
| |
 |
September 2010  |
|
| | 01 | 02 | 03 | 04 | | 05 | 06 | 07 | 08 | 09 | 10 | 11 | | 12 | 13 | 14 | 15 | 16 | 17 | 18 | | 19 | 20 | 21 | 22 | 23 | 24 | 25 | | 26 | 27 | 28 | 29 | 30 | | |
|
|
|
|
|