Lebih banyak insentif dalam bentuk pakej rangsangan daripada kerajaan menanti Industri kecil dan sederhana (IKS) dalam masa seminggu dua ini, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Beliau berkata sebuah jawatankuasa khas yang ditubuhkan, sedang mengkaji insentif-insentif fiskal dan bukan fiskal seperti pengurangan tarif atau pengurangan duti bagi barangan import. "Saya pun masih menunggu insentif berkenaan. Diharapkan dalam masa seminggu ini, apabila diluluskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, pengumuman tambahan akan dibuat dan IKS akan mendapat "durian runtuh" berupa pakej-pakej yang boleh mendorong mereka berkembang," katanya dalam temu bual dalam Rancangan Helo Malaysia terbitan Bernama TV, semalam. Beliau berkata harapan kerajaan ialah untuk melihat ekonomi bergerak dan masih ada prospek walaupun harga minyak naik. Beliau berkata selain RM800 juta yang telah diluluskan untuk IKS baru-baru ini, kementerian itu juga telah memohon lebih banyak peruntukan bagi memberi pinjaman kepada IKS dalam semua sektor. Mengenai cabaran di kementerian itu, Muhyiddin berkata antara saranan beliau ialah melihat Malaysia menjadi pusat perdagangan dunia atau serantau, bukan setakat untuk memasarkan produk yang dihasilkan oleh kilang di Malaysia tetapi memperdagangkan produk dari luar negara dengan negara ketiga. Ini sudah berlaku di Singapura, Hong Kong dan negara-negara lain yang kecil tetapi mempunyai nilai dagangan yang besar, katanya. Beliau berkata cabaran yang dihadapi bukan setakat mengekalkan tahap kemajuan yang telah dicapai dalam bidang perdagangan, tetapi menjadikan Malaysia lebih hebat lagi. - Bernama |